News & Promotions
Jenis-Jenis Dana Saham Amanah Di Malaysia
Date : 24 May 2011
Seiring dengan perkembangan inovasi di dalam produk kewangan yang diterajui oleh kepesatan teknologi maklumat dan kepelbagaian pelaburan, jenis dana saham amanah di Malaysia juga telah turut dipelbagaikan berbanding dengan dekad 70-an dan 80-an. Pelabur di Malaysia kini mempunyai pilihan untuk memilih jenis dana saham amanah yang bersesuaian dengan objektif pelaburan mereka.

Di dalam siri kali ini, kita akan menerangkan tentang jenis-jenis dana saham amanah di Malaysia. Bagi memudahkan pelabur membuat rujukan, penerangan berdasarkan kepada jenis dana saham amanah seperti yang diklasifikasikan oleh ‘Lipper Asia Limited’ (Lipper), sebuah syarikat penyelidikan berkecuali mempunyai kepakaran khusus dalam membuat analisa industri pelaburan dana antarabangsa. Syarikat ini bekerjasama dengan Persekutuan Pengurus-Pengurus Unit Amanah Malaysia (FMUTM) untuk mengumpulkan maklumat menyeluruh tentang dana-dana di Malaysia.

Mengikut Lipper, dana saham amanah di Malaysia boleh dibahagikan kepada 10 jenis seperti berikut:-

1. Dana Syariah
 
Dana Syariah menghadkan pelaburan dana di dalam saham dan instrumen pelaburan yang halal serta berlandaskan prinsip-prinsip Syariah. Bagi memastikan pelaburan dana tidak melanggar prinsip Islam, setiap Dana Syariah di Malaysia dimestikan untuk mempunyai Panel Penasihat Syariah yang terdiri dari sekurang-kurangnya tiga (3) individu yang mempunyai pengetahuan, kepakaran dan pengalaman terutamanya di dalam bidang ‘fiqh muamallah’. Panel Penasihat Syariah ini bertanggungjawab memastikan bahawa pelaburan dana sentiasa halal. Antaranya ialah memastikan bahawa pelaburan dana tidak dibuat di dalam sekuriti syarikat yang mempunyai operasi berteraskan riba (faedah), perjudian, mengeluarkan dan menjual barangan haram serta mempunyai operasi yang melibatkan kegiatan yang mempunyai unsur ‘gharar’ (ketidakpastian) seperti perniagaan insurans konvensional. Kini terdapat 12 Dana Syariah di Malaysia.
 
2. Dana Pengembangan dan Pendapatan
 
Terdapat paling banyak dana saham amanah dikategorikan sebagai Dana Pengembangan dan Pendapatan (36 dana sehingga kini). Dana jenis ini melaburkan sebahagian besar modalnya di dalam sekuriti di pasaran saham di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) manakala sebahagian lagi dilaburkan di dalam instrumen pasaran wang tempatan. Dana jenis ini paling digemari oleh orang ramai kerana pelabur boleh menikmati pulangan dari pelaburan mereka menerusi dua (2) cara iaitu pengembangan modal (hasil dari kenaikan harga unit) dan/atau dividen (jika ada). Prestasi dana ini bergantung sebahagian besar kepada prestasi BSKL kerana kebanyakan pelaburan dibuat ke atas saham-saham di BSKL.
 
3. Dana Pengembangan

Dana jenis ini juga agak popular di kalangan syarikat pengurusan amanah saham dan pelabur. Terdapat 16 Dana Pengembangan di Malaysia kini. Dari segi pelaburan dana, ianya serupa dengan Dana Pengembangan dan Pendapatan. Perbezaannya hanyalah dari segi pulangan di mana Dana Pengembangan lebih mengutamakan pengembangan modal dari pembayaran dividen. Pelabur yang melabur di dalam dana ini boleh mengharapkan pulangan yang lebih menarik dari segi pengembangan modal terutama apabila pasaran saham meningkat tetapi pulangan dari dividen adalah lebih terhad.
 
4. Dana Pasaran Wang
 
Dana jenis ini menghadkan pelaburannya di dalam instrumen pasaran wang yang dibenarkan sahaja dan tidak membuat pelaburan di dalam sekuriti/ekuiti di bursa saham seperti kebanyakan dana saham amanah yang lain. Dana jenis ini mempunyai risiko paling rendah jika dibandingkan dengan dana saham amanah lain yang membuat pelaburan di pasaran saham. Namun begitu, pulangan dari dana jenis ini juga adalah rendah kerana lazimnya pelaburan di dalam instrumen pasaran wang memberikan pulangan yang lebih rendah jika dibandingkan dengan pelaburan di bursa saham. Dana jenis ini kurang popular dan hanya terdapat dua (2) Dana Pasaran Wang sahaja di Malaysia.

5. Dana Seimbang
 
Dana saham amanah jenis ini adalah gandingan di antara Dana Pengembangan dan Pendapatan dengan Dana Pasaran Wang. Ia secara amnya melabur sebahagian daripada modal di pasaran saham manakala sebahagian lagi dilaburkan di dalam instrumen pasaran wang. Di antara kelebihan Dana Seimbang ialah ianya berupaya memberi pulangan yang lebih tinggi daripada Dana Pasaran Wang manakala risikonya pula adalah lebih rendah dari Dana Pengembangan dan Pendapatan. Pemegang unit dana jenis ini boleh mengharapkan pulangan yang terletak di antara pulangan instrumen pasaran wang dan pulangan di bursa saham. Terdapat lima (5) Dana Seimbang dalam industri saham amanah di Malaysia.
 
6. Dana Pendapatan Seimbang
 
Dana jenis ini adalah hampir serupa dengan Dana Seimbang dari segi pelaburan yang dibuat. Apa yang membezakannya ialah hampir keseluruhan pendapatan yang diperolehi oleh dana jenis ini dalam sesuatu tahun kewangan akan dibayar kepada pemegang unit dalam bentuk dividen. Oleh itu, secara amnya dana jenis ini memberikan pulangan pengembangan modal yang lebih rendah tetapi pulangan dari dividen mungkin lebih menarik jika dibandingkan dengan Dana Seimbang. Di Malaysia kini terdapat enam (6) Dana Pendapatan Seimbang yang ditawarkan kepada para pelabur.
 
7. Dana Bon
 
Dana Bon pula menghadkan pelaburannya di dalam bon dan Sekuriti Hutang Persendirian (Private Debt Securities) atau lain-lain produk kewangan yang menyerupai bon dan tidak membuat pelaburan di dalam sekuriti/ekuiti di bursa saham seperti kebanyakan dana saham amanah yang lain. Dari segi profil risiko dan pulangan pula, ianya mirip kepada Dana Pasaran Wang di mana risiko dan pulangannya lebih rendah dari dana saham amanah yang melabur di bursa saham. Terdapat enam (6) Dana Bon di Malaysia kini.
 
8. Dana Indeks Ekuiti
 
Dana jenis ini juga dikenali sebagai dana pasif di mana portfolio dana dirangka supaya prestasi dana tersebut seiring dan mencerminkan prestasi sesuatu indeks di BSKL. Sebagai contoh, terdapat beberapa dana saham amanah yang objektifnya adalah untuk mengikut prestasi Indeks Komposit BSKL. Dana jenis ini akan membuat pelaburan di beberapa saham (kaunter) yang terdapat di dalam sesuatu indeks. Terdapat lima (5) dana jenis ini yang ditawarkan oleh syarikat pengurusan amanah saham kini.
 
9. Dana Syarikat Kecil Berkembang
 
Dana jenis ini akan mendefinasikan dan mengambil-kira saiz syarikat di mana modal dana tersebut boleh dilaburkan. Sebagai contohnya, terdapat dana yang menghadkan pelaburan di dalam sekuriti syarikat yang mempunyai Permodalan Pasaran (Market Capitalization) tidak lebih dari RM750 juta. Dana jenis ini lazimnya berisiko lebih tinggi jika dibandingkan dengan dana saham amanah yang lain kerana dana ini melabur di dalam sekuriti/ekuiti syarikat kecil yang sedang berkembang dan selalunya belum begitu stabil jika dibandingkan dengan syarikat besar. Terdapat enam (6) dana jenis ini di Malaysia kini.
 
10. Dana Negeri
 
Dana Negeri adalah dana saham amanah yang diuruskan oleh institusi yang dimiliki oleh kerajaan negeri. Sesetengah dana mengenakan syarat ke atas pelabur yang layak melabur di dalam dana tersebut. Sebagai contohnya, terdapat Dana Negeri yang menghadkan hanya pelabur bertaraf Bumiputera sahaja yang layak melabur. Terdapat tujuh (7) dana negeri di Malaysia kini di mana lima (5) darinya adalah Dana Ekuiti Konvensional dan dua (2) darinya adalah Dana Ekuiti Syariah.
 
Pada minggu hadapan, kita akan membincangkan bagaimanakah caranya untuk memilih jenis dana saham amanah yang sesuai untuk beberapa golongan pelabur selaras dengan objektif pelaburan mereka.